Kisah seorang pemandiri keganasan rumah tangga

Saya tidak guna nama sebenar. “Bedah” adalah mangsa keganasan rumah tangga.

Woman writing testimonial Sudah beberapa tahun duduk bersama suami memang tidak pernah serasi. Ada-ada saja masalah yang timbul. Sepak, pukul, terajang, maki hamun sudah menjadi makanan dalam hidup dan dalam sehari tidak ada perkataan yang bagus keluar dari mulut sang suami tidak ada perkataan yang manis, lemah lembut. Sifat panas barannya semakin menjadi, apatah lagi bila melihat kita bercakap dengan sesama jiran. Kisah ini berlaku ketika kami tinggal tidak jauh dekat PJ, rumah flat saja masa itu. Memang la si suami ada ambik barang pelik-pelik, main game slot, minum arak adalah bahan buatnya hari-hari. Bekerja sebagai Security itu pun tidak lama, macam macam kerja jua. Salah satu sifat panas barannya mengatakan yang saya membawa lelaki masuk dalam rumah bila dia tiada di rumah. Mula-mula hanya pertengkaran mulut sahaja dan lama kelamaan sepak terajang nya pun bermula. Pernah juga dia memaksa saya meminjam duit dengan saudara mara semata-mata untuk membeli dadah dan untuk game onlinenya. Kalau tidak ada membawa pulang duit, cari sampai dapat baru boleh masuk rumah, bayangkan tengah malam pergi ke rumah orang meminjam duit orang sudah asyik tidur sorang pun tak sedar, yang ada pun hanya mat –mat gian dan kaki game online sahaja yang ada. Saya pernah beberapa kali lari dari rumah tapi tidak lama kerana terfikirkan anak anak yang ada di rumah.

Saya ada 6 orang anak. Mereka pun sudah beberapa kali melihat bapa mereka memukul saya. Mereka hendak masuk campur tetapi tidak berani, hanya melihat saya sahaja mereka mampu. Anak-anak pun sudah tidak terurus sekolah. Kami sekeluarga tidak lagi tinggal di rumah flat tersebut atas masalah lain. Kami pernah tinggal di dalam kereta, tidur di masjid kerana tidak ada rumah pada masa itu, seorang pun tidak ada yang pelawa nak bawa tinggal bersama , mungkin sudah nasib kami sekeluarga begini. Pada masa yang sama, jua sang suami ada bercakap dengan kawannya untuk tinggal sementara di rumah kawannya, disitulah bermulanya episod yang paling teruk berlaku kepada saya. Saya baru tahu rumah yang kami duduk menumpang dahulu adalah rumah tempat orang selalu lepak dan ambil barang, asal tengah malam banyaklah orang datang ke rumah itu ada yang bermain game slot sambil isap syabu boleh dikatakan macam macam. Sang suami ada menuduh saya ada hubungan dengan kawannya yang duduk serumah. Kawannya solo belum berkeluarga pun. Bila ada aktiviti aktiviti macam itu, sekali sekali dia adalah join sekali. Cemburu lah pun segalanya bila dah setan menghasut macam –macam boleh jadi. Kita yang tidak tahu apa-apa tak pasal-pasal kena penampar, penumbuk. Bila dia tiada di rumah mengatakan kita bermain dengan orang lain. Saya sudah tidak tahan lagi dengan sifat baran suami saya. Pernah jua dia pukul saya menggunakan kayu, pisau pemotong ayam, pijak kepala pun ada. Sampai lebam-lebam tubuh saya. Entahlah , kenapa juga masih bertahan, mungkin kerana anak-anak. Kasihan juga dengan anak-anak jadi begini. Tidak tahan dengan sifatnya begitu, saya membawa 2 orang anak perempuan saya lari dan yang lain terpaksa saya ditinggalkan.

Jadi saya ke balai polis untuk membuat repot keganasan rumah tangga. Sudah selesai membuat repot, anggota polis bertanya kepada saya nak tinggal di mana sekarang, saya menyatakan tiada tempat nak dituju, lalu pihak polis menghantarkan kami bertiga ke “Anjung Singgah”tempat persinggahan buat sesiapa yang betul betul perlu. Setelah sebulan tinggal di situ, ada 2 orang dari SWWS ada datang menolong dengan berkat bersungguh –sungguh staff dari SWWS membawa kami sekelurga keluar dari sana dan memberikan kami tempat perlindungan buat kami sekeluarga. Semasa kami 3 beranak di Anjung Singgah, suami ada mencari, bila mereka dapat tahu saya tinggal di sana , boleh dikatakan tiap-tiap hari kalau tidak jumpa nak berlaku kekecohan terpaksa jumpa. Kebetulan juga dia hantar ke empat empat anak lelaki saya untuk tinggal bersama saya sekali. Pada masa itu saya mendapat tawaran dari pihak SWWS untuk tinggal di tempat perlindungan dan saya pun bersetuju untuk tinggal disana cuma anak tua saya tidak dapat ikut bersama. Tinggallah kami berenam sahaja tinggal di pusat perlindungan SWWS. Terima kasih kepada 2 staff SWWS kerana bersungguh sungguh menolong kami selama di dalam pusat perlindunga. Macam macam bantuan yang dihulurkan mereka dari segi hal penceraian, persekolahan dan bantuan bantuan dari agensi tertentu. Ada juga sukarelawan SWWS datang menjenguk dan bermain dengan anak anak walaupun tempat perlindungan boring , nasib ada tv dan staff nya pun ok pandai melayan karenah anak-anak. Setelah habis tempoh masa dalam pusat perlindungan , kami keluar dan berusaha berdikari. Walaupun payah pada mulanya, macam-macam cabaran yang perlu ditempuhi, staff SWWS sentiasa memantau keadaan kami sekeluarga, bertanya kabar, berita persekolahan anak-anak. Walaupn saya terpaksa kembali kepada suami kerana keadaan memaksa walauapapun keadaan kembali lagi kejadian pukul memukul tidak sekali –kali mematahkan hati saya.

Sekarang saya dan anak-anak sudah bebas dari keganasan suami saya. Disitulah staff SWWS menolong saya mencari pekerjaan dan mengesyorkan saya kepada PERKESO dan dari situlah saya mendapat pekerjaan dari salah sebuah syarikat .Ini merupakan titik permulaan untuk hidup saya berdikari untuk anak-anak saya. Terima kasih kepada 2 orang staff SWWS kerana bertungkus lumus menolong dan mengubah hidup saya. Selama ini, kalau tidak ada mereka berdua mungkin tidak tahu macam mana. SWWS terima kasih banyak-banyak sudi menolong dan terima kasih tidak terhingga.

Yang Benar

“Bedah” bukan nama sebenar.

Jika anda memerlukan seseorang untuk mendengar dan membantu, anda boleh menghubungi Talian Bantuan SWWS di 016-5822660 atau 016-8892345.