Kenyataan Akhbar SWWS: Membentuk Masa Depan yang Mengutamakan Pemandiri (Mangsa)

SWWS
Persatuan Wanita untuk Wanita Sarawak (SWWS) - Kenyataan Akhbar SWWS - 15 Julai 2023

For Englsh version, click here.

Photo of those present for OSCC Meeting discussion

YB Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, telah mengadakan sebuah mesyuarat untuk membincangkan penambahbaikan perkhidmatan untuk pemandiri di One Stop Crisis Centre (OSCC), yang bertempat di semua hospital umum utama di Sarawak, sebagai jawapan kepada kebimbangan yang telah diutarakan di media sosial.

Mesyuarat itu telah dihadiri oleh kakitangan Hospital Umum Sarawak, termasuk Jabatan Kecemasan & Trauma (ETD), pasukan One Stop Crisis Centre (OSCC) dan kakitangan perubatan; polis dari Seksyen D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak, PDRM); pekerja sosial dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak dan Sarawak Women for Women Society (SWWS). Tujuan perbincangan adalah untuk memastikan semua pihak memahami dasar One Stop Crisis Centre (OSCC) dan mengenalpasti cara-cara untuk menambah baik kerjasama daripada pelbagai agensi supaya pendekatan mengutamakan pemandiri adalah teras kepada perkhidmatan.

OSCC adalah perkhidmatan harian 24 jam yang menguruskan semua orang yang mengalami keganasan rumah tangga, serangan seksual, penderaan kanak-kanak dan pengabaian. OSCC berfungsi untuk menyediakan tempat yang selamat, rawatan dan intervensi krisis pelbagai peringkat kepada pemandiri, untuk memastikan penyampaian penjagaan yang optimum dan pengurusan bukti untuk pemandiri.

Mesyuarat itu mengesahkan bahawa pendekatan yang mengutamakan pemandiri harus menyokong semua usaha untuk bertindak balas terhadap kecemasan keganasan berasaskan jantina (GBV).

Berikut merupakan garis panduan untuk pendekatakan yang berpusatkan pemandiri:

  1. Keselamatan: Keselamatan pemandiri dan anak-anaknya harus menjadi keutamaan nombor satu bagi petugas barisan hadapan GBV. Adalah penting untuk setiap petugas untuk mengingati bahawa apabila wanita dan kanak-kanak perempuan mendedahkan insiden GBV, mereka berisiko tinggi untuk mengalami serangan balas daripada pelaku dan mereka yang mungkin berusaha untuk melindungi mereka.
  2. Kerahsiaan: Petugas barisan hadapan GBV tidak seharusnya berkongsi maklumat mengenai pemandiri tanpa kebenaran jelas dan kebenaran termaklum mereka. Terdapat beberapa had kerahsiaan, cth., apabila prosedur pelaporan mandatori dilaksanakan, dan apabila melibatkan kanak-kanak yang terselamat , apabila keputusan bergantung kepada perkara yang sesuai untuk kepentingan kanak-kanak itu.
  3. Hormat: Petugas barisan hadapan GBV harus menghormati hak dan maruah pemandiri. Mereka tidak seharusnya menilai pilihan seseorang yang terselamat, sebaliknya mempercayai bahawa dia lebih mengetahui jika dan bila untuk mengakseskan bantuan dan/atau intervensi polis dan undang-undang.
  4. Tanpa Diskriminasi: Petugas barisan hadapan harus melayan semua pemandiri secara sama rata, tanpa mengira umur, bangsa, etnik, kewarganegaraan, agama, orientasi seksual, status HIV dan status hilang upaya.

YB Nancy Shukri berkongsi bahawa beliau akan berbincang dengan YB Zaliha Mustafa, Menteri Kesihatan, mengenai semakan semula prosedur untuk OSCC supaya mereka membenarkan pemandiri mempunyai pilihan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum membuat keputusan, dalam tempoh 72 jam, sama ada untuk atau tidak buat laporan polis. Prosedur semasa mengikut Dasar OSCC 2015, ialah laporan polis mesti dibuat sebelum polis mengeluarkan perintah meminta doktor memeriksa dan mengumpul bukti dengan persetujuan orang tersebut bagi tujuan membantu siasatan.

Selain itu, mesyuarat itu adalah untuk merayu kepada media untuk menarik perhatian orang ramai mengenai pengoperasian OSCC dengan mencetak carta alir yang telah dilampirkan. Semua yang hadir bersetuju bahawa dengan mempertingkatkan kerjasama pelbagai agensi; berpegang kepada prinsip yang digariskan dan dengan memberi maklumat yang jelas kepada ramai mengenai perkhidmatan yang ada, pemandiri penderaan akan diberikan perkhidmatan yang lebih baik. Bagi mereka yang mengalami penderaan dan menetap di Sarawak, mereka boleh pergi ke OSCC di Hospital Umum Sarawak, Hospital Miri, Hospital Sibu, Hospital Serian, Hospital Bintulu, Hospital Sri Aman dan Hospital Sarikei. Mereka yang didera dan berada dalam krisis juga boleh menghubungi ETD di mana-mana hospital kerajaan. Wanita yang mengalami keganasan digalakkan untuk menghubungi Talian WINNE SWWS 016-5822660 (Isnin 7pm-9pm, Selasa-Khamis 9.30am-11.30am, Sabtu 2pm-4pm).

Carta Alir Untuk Mengendalikan OSCC - Intervensi Krisis Tahap 1: Pengurusan Permulaan